PDA

View Full Version : Terima kasih, Tuhan



cahaya kesyukuran
06-24-2010, 11:00 AM
Salam. Entah kenapa tiba-tiba rasa terpanggil untuk berkongsi cerpen ini dengan ahli-ahli FTC. Terimalah hasil garapan di masa senggang yang tidak seberapa ini.



1


TEMAN-TEMANNYA berkata hidupnya baru saja bermula. Perkara yang terjadi itu bukan titik noktah kepada kehidupannya. Tetapi kenapa dia merasakan seperti hidupnya bakal berakhir. Bagaikan sebentar lagi dia akan mati. Seperti tiada lagi esok dalam hidupnya. Bagaikan nafasnya hanya tinggal sisa saat itu. Dia merintih dalam hati. Dia masih berusaha mencuba. Mencuba untuk mencari segala hikmah di atas segala yang berlaku.

Arisa membuka jendela luas-luas. Membiarkan angin petang menampar lembut wajahnya. Entah kenapa tiada kedamaian yang dia rasakan saat itu. Yang ada hanyalah dadanya yang sesak. Sesak dengan segala sakit dan bebanan perasaaan. Rasanya mahu saja dia pergi dari situ. Pergi ke tempat yang tidak ada orang. Biarkan dirinya sendiri melayan segala perasaan yang datang. Dan yang lebih penting, dia boleh menangis tanpa rasa malu dan jemu.

Telefon bimbit yang berada di atas meja berlagu-lagu minta diangkat. Arisa hanya berdiam diri. Sejak hari hitam itu, dia bagaikan hilang seluruh pancaindera. Yang dia mampu rasakan hanyalah sakit yang bagaikan tidak berpenghujung. Perlahan-lahan hari hitam itu kembali terlayar di ruang mata.

"Sara! Dani!" Hanya itu yang mampu terpacul keluar dari mulutnya saat melihat dua insan yang begitu dekat dalam hidupnya itu.

Sara dan Dani yang terkejut cepat-cepat menyarungkan pakaian masing-masing. Kedua-duanya begitu terkejut. Pucat wajah mereka. Jika ditoreh dengan pisau sekalipun, pasti tidak berdarah.

Sementara itu, Arisa pula hanya terkaku di hadapan pintu. Dia tidak tahu apa yang mampu dia lakukan lagi. Kebenaran yang berada di hadapan matanya kini sungguh menyakitkan. Dia mengharapkan apa yang berlaku saat itu cuma satu mimpi ngeri yang tidak akan pernah menjadi satu realiti. Sakit lengannya dicubit sekuat hati. Mengharapkan dia segera terbangun di atas katilnya tetapi dia masih juga berada di situ.

"Sayang, jangan salah faham," Dani bangun dan melangkah ke arah Arisa yang masih berdiri di muka pintu.

"Apa lagi Dani? Kebenaran apa lagi yang ingin kau tunjukkan pada aku saat ni?" Persoalan-persoalan itu terhambur dari mulut Arisa.

"Semua ni salah faham. Hanya salah faham, Arisa," ucap Dani sambil meraih tangan Arisa.

Arisa merentap tangannya kasar. Dia memandang Dani dan Sara silih berganti.

"Aku tak pernah harap kau akan kembali pada aku. Tapi bila aku dah terima kau balik, kau buat aku macam ni. Kau letak maruah aku di serendah-rendah tempat. Dah tak ada orang lain ke Dani? Kenapa dengan Sara? Sara tu kawan aku sendiri!" Arisa sudah tidak mampu menahan air matanya daripada gugur. Dia tidak menunggu lama untuk pergi dari situ. Tidak sanggup dia untuk terus berlama-lama di tempat yang menghadapkan dia dengan segala kebenaran yang sangat menyakitkan.

"Arisa!"

Arisa tersentak. Wajah Seri, teman serumahnya terjenggul di balik pintu yang terkuak. "Andy ada di bawah," ucap Seri perlahan tetapi masih dapat didengar oleh Arisa.

Arisa pantas menggelengkan kepala. Tanda dia tidak mahu bertemu dengan lelaki itu.

Seri hanya mengangguk. Dia faham keadaan gadis itu. Situasi yang dihadapi tidak memungkinkan temannya itu mahu berjumpa sesiapa.

Arisa merebahkan dirinya atas katil sebaik saja pintu biliknya terkatup kembali. Tiba-tiba dia merasa lemas. Lemas berkeadaan begitu. Tetapi dia tidak mahu keluar daripada persembunyiannya itu. Biarlah, selama mana pun dia akan tetap berkurung di situ. Dia tidak mampu untuk berhadapan dengan sesiapapun. Bagaimana dia mahu berhadapan dengan teman-teman kampusnya dan semua insan di luar itu? Dia malu dengan apa yang berlaku. Dia merasakan yang dia sangat bodoh diperlakukan sebegitu oleh insan-insan yang disayanginya. Terasa maruahnya diinjak-injak dan diletakkan di serendah-rendah tempat.

Arisa memandang sekeliling. Kadang-kadang dia sendiri takut berada di situ. Bagaikan seluruh kerusi, meja dan dinding kaku itu mengetawakan dirinya. Terngiang-ngiang juga suara teman-teman yang ketawa mengejek. Mengutuk kebodohan dirinya. Arisa menekup telinga dengan telapak tangan. Bagaikan dengan berbuat demikian dapat menghalau suara-suara itu daripada terus bergema di telinganya.

cahaya kesyukuran
06-24-2010, 06:43 PM
2

DIA berjalan pantas keluar dari dewan kuliah. Sesak nafasnya untuk terus berlama-lama di tengah ramai orang itu. Bagaikan tempoh dua jam berada di situ seperti dua puluh hari yang begitu menyeksakan. Andy yang sedari tadi asyik memerhatikan Arisa segera mengejar gadis itu. Dia terpaksa berlari anak untuk menyamakan langkah dengan Arisa.

“Arisa, kelmarin kenapa kau tak nak keluar jumpa aku?” ucap Andy sambil memandang wajah Arisa.

Arisa langsung tidak menoleh. Dia tidak mengendahkan pertanyaan Andy itu. Langkah kakinya dipercepatkan. Dia mahu segera sampai di tempat parkir kereta. Apabila sampai dia terus masuk ke dalam kereta. Tidak memberi Andy peluang untuk terus berbicara.

Andy hanya memandang saat kereta Arisa meluncur laju meninggalkan dia di belakang. Wajahnya jelas kelihatan hampa.

Arisa memandang Andy melalui cermin pandang belakang.

“Maafkan aku, Andy. Aku malu untuk berjumpa kau. Aku malu untuk berjumpa sesiapa pun,” ucap Arisa perlahan sebelum memecut keretanya meninggalkan kawasan kampus.

Jika difikirkan balik, adakah betul tindakan yang diambilnya ini? Menjauhkan diri daripada semua orang di sekelilingnya. Adakah patut Seri dan Andy yang ikhlas mengambil berat akan dirinya itu turut menjadi mangsa di atas semua yang berlaku. Bukan mereka yang bersalah dalam hal ini. Yang bersalah dalam hal ini adalah dia. Hanya dia seorang. Dia yang terlalu bodoh untuk menilai segalanya. Dia yang terlalu lemah kerana mudah diperdaya dan diperbodohkan.

Arisa menyeka air mata di pipi dengan hujung jari. Hujan tiba-tiba turun mencurah-curah. Pandangannya tiba-tiba kabur kerana air mata yang semakin deras mengalir. Lalu dia berhenti secara tiba-tiba di bahu jalan sehingga membuatkan kenderaan-kenderaan lain di belakang membunyikan hon. Arisa teresak-esak menangis. Dia tidak punya kekuatan lagi. Tidak sanggup dia terus menggalas bebanan perasaan itu. Terlalu berat dan membebankan.

Ketukan bertalu-talu di cermin tingkap keretanya membuatkan Arisa tersentak. Dia menurunkan cermin tingkap. Wajah Andy dipandang sekilas.

“Nasib baik aku perasan kereta kau berhenti kat sini. Kenapa ni Arisa?” Pertanyaan Andy itu bagai angin lalu. Langsung tidak dipedulikan Andy yang sudah basah kuyup di luar.

“Arisa, tolong jangan buat aku macam ni,” ucap Andy lagi. Sakit hatinya apabila melihat kebisuan Arisa. Apa salah dia pada gadis itu sehingga dihukum sebegitu oleh Arisa?

“Biar aku hantar kau balik,” ucap Andy sambil membuka pintu kereta. Ditariknya Arisa yang masih tidak mahu berganjak.

Andy yang sudah berada di tempat duduk pemandu memandang wajah Arisa sekilas sebelum memandu.

Hanya kesepian yang menemani mereka berdua sepanjang perjalanan pulang. Sesekali Andy menoleh ke arah Arisa di sebelah. Gadis itu hanya memandang ke luar. Andy ingin memulakan bicara tetapi dia tidak tahu bagaimana untuk memulakan. Akhirnya dia meluruskan pandangan ke hadapan dan meneruskan pemanduan.

“Aku bodoh, Andy,” ucap Arisa tiba-tiba.

Andy yang tersentak terus memandang Arisa. Dia menggeleng kesal.

“Tak Arisa. Kau tak bodoh, semua ini bukan salah kau,” balas Andy. Dia memberhentikan kereta betul-betul di hadapan rumah Arisa. Hujan masih belum reda. Langsung tidak menunjukkan mahu berhenti.

“Aku yang salah Andy. Bodohnya aku,” ucap Arisa lemah.

Andy memandang penuh simpati. Perasaanya bukan hanya sekadar simpati semata-mata. Malah kasih dan cintanya juga untuk gadis itu. Hanya Arisa saja yang tidak tahu. Dan dia rasa tidak wajar untuk dia menangguk di air keruh. Tidak wajar untuk dia memanfaatkan keadaan itu demi kepentingan dirinya sendiri.

Tangannnya serentak itu menggengam tangan Arisa. Bagaikan dengan berbuat demikian dapat menyalurkan segala kekuatan untuk gadis itu meneruskan hari-hari yang mendatang. Arisa menarik perlahan tangannya daripada gengaman tangan Andy.

“Aku nak naik dulu Andy,” ucap Arisa lemah. Andy segera mengangguk. Dia terus keluar dan menyerahkan kunci kereta kepada Arisa. Arisa menyambutnya dan terus menghilang di balik daun pintu.

Andy masih tercegat di situ. Berdiri kaku di bawah curahan hujan sambil terus memandang ke arah rumah Arisa.

cahaya kesyukuran
06-26-2010, 11:49 AM
3

BEG galasnya dicampak ke atas katil. Dia terus melangkah ke meja tulis. Menarik kerusi dan terus menghempaskan punggung di atas kerusi. Perlahan-lahan tangannya menarik laci. Mengeluarkan sebuah diari dan sebatang pena. Sejak kejadian hitam itu, dia lebih suka menulis. Menulis segala perasaan yang bermukim di jiwa. Sekurang-kurangnya dia akan berasa lega meskipun hanya untuk seketika.

Pantas tangannya mencoret sesuatu di atas muka surat yang kosong.

Tuhan, kalau boleh aku ingin pergi jauh dari sini. Aku ingin membebaskan diri daripada terus dibelenggu kekecewaan ini. TakdirMu ini terlalu sakit. Aku sudah rebah menyembah bumi. Tidak mampu aku untuk bangkit. Aku tidak punya kekuatan itu. Kekuatanku telah direnggut pergi. Tiada apa yang tinggal lagi buatku kini. Yang ada hanyalah rasa sakit yang tiada kesudahan.

Tuhan, salahkah aku kerana terlalu kecewa dan sakit di atas cintaku sendiri?

Ketukan di pintu tiba-tiba membuatkan Arisa tersentak. Serta merta pena di tangan terjatuh ke lantai. Arisa bangun dengan malas dan terus melangkah untuk membuka pintu. Seri tercegat di muka pintu apabila daun pintu terkuak. Pantas wajah manis itu mengukirkan senyuman buat Arisa tetapi Arisa tetap begitu. Wajah pucat itu sudah lama tidak tersenyum. Seri rindu untuk menatap senyuman di bibir Arisa.

“Kau dah makan?” pertanyaan Seri hanya dibalas gelengan oleh Arisa. Sudah berapa lama nasi tidak singgah di perutnya pun dia tidak ingat. Entahlah, sebenarnya dia sudah kenyang. Kenyang dengan segala kekecewaan dan kesakitan yang dia kini alami.

“Biar aku masakkan untuk kau,” ucap Seri sambil tersenyum. Tetapi wajah Arisa di hadapannya tetap keruh.

“Aku tak ada selera Seri. Tak apa, nanti kalau aku lapar aku makanlah,” jawab Arisa sebelum menutup pintu. Dia terduduk di atas lantai. Pantas air matanya mengalir laju membasahi pipi.

MATANYA tertancap di setiap baris ayat di buku itu tetapi entah kenapa tidak ada satu pun yang singgah di kepalanya. Jemu menatap helaian itu, dia membuka helaian seterusnya pula. Tetapi tetap sama. Bagaikan dia menatap helaian kertas yang putih bersih. Tiada apa untuk dibaca di atasnya.

Dari jauh, Andy melihat Arisa keseorangan di bangku taman itu. Segera kakinya dihalakan ke arah gadis itu. Rindu untuk menatap wajah gadis itu meskipun baru sehari tidak berjumpa.

Tanpa meminta izin, Andy terus duduk di sebelah Arisa. Gadis itu tetap tekun membaca. Andy tidak mahu menganggu. Walaupun hanya dapat duduk di sebelah Arisa, itu sudah cukup membahagiakan bagi dia.

Andy tiba-tiba terbersin. Selsemanya kelmarin masih tidak hilang. Andy tergamam saat Arisa menghulurkan sehelai sapu tangan. Perlahan-lahan tangannya mencapai sapu tangan tersebut. Ada segaris kebahagiaan terpancar di wajahnya saat itu.

“Macam mana boleh selsema ni?” Arisa bertanya. Dia memandang lelaki di sebelahnya. Menunggu jawapan daripada lelaki itu.

Andy terkedu. Kepalanya pusing. Tidak tahu hendak memberi jawapan yang bagaimana. Sangkanya sudah tentulah Arisa tahu sebabnya.

“Kelmarin kan hujan lebat,” ucap Andy perlahan tetapi masih boleh didengari Arisa. Bagi Andy, jawapan itu sudah cukup untuk menjawab pertanyaan Arisa.

Arisa segera teringat kejadian kelmarin. Dia menunduk. Andy jadi begitu disebabkan dirinya. Rasa bersalahkah dia?

Kebisuan di antara mereka berpanjangan. Mulut Andy terkumat-kamit. Entah kenapa susah benar dia hendak melontarkan kata-kata. Suaranya bagaikan tersekat di kerongkong.

“Arisa,” panggil Andy. Matanya tidak lepas daripada terus merenung wajah gadis itu.

Arisa memandang Andy sekilas.

“Aku cintakan kau, Risa,” ucap Andy perlahan.

Benar apa yang dijangkakan Andy. Arisa kelihatan terkejut dengan apa yang baru diucapkan Andy sebentar tadi. Makin tidak keruan Andy apabila melihat reaksi Arisa. Kebisuan Arisa makin membuatkan Andy tidak tentu arah.

“Aku tak layak untuk kau, Andy,” balas Arisa lambat-lambat. Arisa semakin bingung. Sesak nafasnya saat itu. Kenapa Andy mahu menyesakkan fikirannya yang sedia sesak itu? Tidak tahukah lelaki itu yang dia sudah cukup terbeban dengan apa yang telah terjadi. Dia tidak betah duduk di situ lagi. Kalau boleh dia mahu cepat-cepat pergi.

“Tak ada istilah layak untuk cinta ini, Arisa,” Andy mencapai tangan Arisa. Baginya, cintanya buat gadis itu cukup tulus. Hanya Tuhan yang tahu bagaimana cintanya dia terhadap gadis bernama Arisa itu.

“Aku tahu siapa diri aku, Andy. Aku memang tak layak untuk kau. Kalau aku layak untuk dicintai, Dani takkan buat aku macam ni,” ucap Arisa lirih. Dia menarik tangannya dari genggaman tangan Andy.

“Perkara tu dah lama berlalu Arisa. Tolonglah lupakan semua tu. Kau masih ada aku. Aku cintakan kau,” balas Andy tidak mahu berputus asa.

“Aku tak perlukan simpati kau. Aku mampu hidup sendiri,” ucap Arisa sebelum bangun.

Andy turut bangun. Dia menahan Arisa daripada pergi.

“Perasaan aku pada kau ikhlas. Perasaan ni tak sama macam perasaan Dani terhadap kau. Dia yang tak tahu menghargai diri kau. Tolonglah Arisa, tolonglah lupakan lelaki macam Dani. Kau tak boleh terus jadi bodoh untuk sedih dan kecewa selepas apa yang dah dia lakukan terhadap kau,” Andy berkata kuat. Entah kenapa tiba-tiba dia jadi hilang sabar apabila soal Dani menjadi topik bicara mereka.

“Ya Andy. Betul apa yang kau cakap. Aku yang bodoh selama ni. Aku yang bodoh, Andy!” ucap Arisa sebelum berlari meninggalkan Andy.

Panggilan Andy langsung tidak diendahkan Arisa. Gadis itu telah menghilang entah ke mana. Andy terduduk. Dalam hati, dia mengutuk kebodohan diri. Tangannya menggengam erat sapu tangan yang diberikan Arisa tadi.

cahaya kesyukuran
06-27-2010, 10:38 AM
4

ARISA mengesat air mata di pipi dengan jemari. Entah kenapa dia begitu berjauh hati dengan apa yang diungkapkan Andy tadi. Dia menekan pedal minyak sekuat hati. Destinasinya tidak diketahui. Dia terus memandu tanpa arah tujuan.

Deringan telefon bimbit yang bergema mengejutkan Arisa. Pantas dia memberhentikan kereta di bahu jalan. Nama Andy muncul di skrin telefon bimbitnya. Dia hanya membiarkan deringan itu mati sendiri. Tidak lama kemudian deringan itu sekali lagi bergema. Tetapi bukan Andy yang menghubunginya tetapi Seri.

Pantas Arisa menekan butang hijau. Dia tidak terus berbicara. Hanya menunggu Seri memulakan bicara tetapi hanya esakan Seri yang kedengaran. Arisa jadi cemas. Pelbagai persoalan bergayut di benaknya.

Arisa terkejut saat mendengar kata-kata Seri di hujung talian. Dia tidak mampu membalas apa-apa sampailah talian dimatikan.

Dengan pastas dia memulakan pemanduan. Terus dia memandu ke arah satu destinasi yang pasti.

ARISA masuk ke dalam bilik yang serba putih itu. Kelihatan Seri sedang tersedu-sedu menahan kesedihan yang beraja. Terus dia menghampiri Seri. Seri yang menyedari kehadiran Arisa terus memeluk gadis itu. Di bahu Arisa dia melampiaskan segala kesedihan yang menggila.

Arisa memeluk Seri erat. Matanya tidak lepas daripada melihat sekujur tubuh yang sudah tidak bernyawa itu. Meskipun wajahnya telah ditutup, dia tahu siapa yang sedang terbaring kaku di hadapannya itu.

Perlahan-lahan air matanya mengalir lesu.

DIA dan Seri bangun perlahan-lahan meninggalkan kawasan perkuburan. Di dalam kereta, hanya sepi yang menemani mereka berdua sehinggalah sampai di hadapan rumah.

“Aku tahu perasaan Andy terhadap kau, Risa,” ucap Seri tiba-tiba di saat Arisa mematikan enjin kereta. Pantas dia memandang ke arah Seri di sebelah.

“Dah lama dia ada perasaan macam tu. Semenjak kau belum bersama Dani lagi,” tambah Seri lagi.

“Kau bertuah Arisa. Punya lelaki yang sayangkan kau seperti Andy. Aku rasa kau kena hargai dia sebelum terlambat,” ucap Seri sebelum meloloskan diri dari kereta.

Arisa termangu sendirian. Dia masih keliru. Entahlah, dia tidak tahu apa yang harus dia lakukan selepas mendengar kata-kata Seri tadi. Mungkin kerana baru kehilangan kekasih tercinta, Seri begitu beremosi. Ayat terakhir Seri tadi begitu menggamit nalurinya. Entah kenapa perasaan bersalah tiba-tiba terbit dalam dirinya. Selayaknya lelaki seperti Andy itu tidak patut diperlakukan seperti itu. Dia mengeluh. Buntu benar fikirannya saat itu. Sungguh, dia tidak tahu apa yang patut dia lakukan.

Arisa keluar dari kereta dan terus masuk ke rumah. Dia harus menemani Seri. Pasti temannya itu amat membutuhkan dirinya saat itu. Segera ingatan terhadap Andy terhapus.

HARI-HARI yang dilalui Arisa makin sunyi. Tiada lagi panggilan telefon dari Andy. Tiada juga sapaan mesra buat dirinya daripada lelaki itu di kampus. Sudah lupakah lelaki itu pada dirinya? Arisa bangun dari pembaringannya. Dia melangkah perlahan ke arah meja tulis. Mengambil sebuah kotak yang telah berdebu tanda sudah lama tidak terusik. Perlahan-lahan tangannya membuka penutup kotak tersebut.

Dia menatap fotonya bersama Dani. Lantas kenangan lalu terus bermain di fikirannya. Sebenarnya dia masih rindu. Rindu untuk bersama lelaki itu seperti dulu. Segala yang dilakukannya bersama Dani tidak dapat diulang. Semuanya telah berakhir. Tiada lagi senyuman manis lelaki itu buatnya. Tiada juga wajah lelaki itu yang sentiasa menghiasi hari-harinya. Semuanya kini kosong. Sama seperti hatinya yang telah lama dibiarkan sepi.

Pantas dia menyimpan kembali foto itu di dalam kotak. Tidak sanggup untuk terus menatap foto itu. Diari yang berada di dalam laci dikeluarkan dan pantas dibuka.

Tuhan, hari ini aku berasa sungguh sepi. Kesepian yang merantai diriku ini begitu melelahkan. Kadang-kadang aku rindu untuk tersenyum. Aku juga rindu untuk ketawa gembira. Aku sudah terlalu penat menangis.
Hari-hari yang dilaluiku sama saja. Hari ini tiada bezanya dengan semalam. Esok pula pasti sama juga dengan hari ini. Hanya kesepian dan kekosongan yang menemaniku. Entah sampai bila keadaaan ini akan berterusan pun aku tidak tahu. Mungkin selama-lamanya aku akan terus begini.

Pintu biliknya yang tidak berkunci dikuak dari luar. Pantas Arisa memandang ke arah pintu. Seri sedang tercegat di muka pintu sambil menjijit sebuah beg di tangan. Arisa jadi panik.

“Kau nak pergi mana ni, Seri?” tanya Arisa sambil pantas menghampiri Seri.

“Aku tak boleh berada di sini,” jawab Seri. Dia mencapai tangan Arisa.

“Kebahagiaan itu pasti datang menjemput. Cuma apa yang kau harus lakukan, singkirkan segalanya yang boleh menghalang kau daripada bahagia.” Kata-kata Seri itu membuatkan Arisa terpaku. Bagaimana seorang gadis yang sedang berada dalam kesedihan itu mengucapkan kata-kata sebegitu untuknya? Sedangkan dialah yang harus memberi kata-kata itu buat Seri.

Arisa hanya mengangguk. Tidak tahu apa yang harus dia ucapkan untuk membalas kata-kata Seri.

Dia menghantar pemergian Seri dengan sorotan mata. Entah bila Seri akan kembali ke rumah itu pun dia tidak tahu. Arisa memandang sekeliling. Kini, dia benar-benar telah keseorangan.

cahaya kesyukuran
06-27-2010, 11:43 AM
5

PANDANGAN dilemparkan ke sekeliling. Dia berada di sebuah padang yang sangat luas. Cantik tempat itu tetapi ada yang kurang. Entah kenapa dia merasakan tempatnya bukan di situ. Dia melangkah beberapa tapak sebelum berhenti. Dia tidak suka berada di situ. Puas dia memanggil nama-nama insan kesayangannya tetapi tiada sesiapapun yang menyahut. Dani, Sara, Seri mahupun Andy langsung tidak kelihatan di situ. Yang ada hanya dia seorang.

Dia menjerit sekuat hati. Dia tidak betah untuk terus berlama-lama di situ. Tiba-tiba dia terdengar namanya dipanggil. Pantas dia menyahut tetapi insan itu tetap tidak kelihatan di mana-mana. Dia melangkah untuk mencari suara itu sehingga tidak sedar kakinya tersangkut akar kayu. Tersembam dia ke atas tanah.

Tiba-tiba ada seorang lelaki muncul di hadapannya. Andy menghulurkan tangannya kepada Arisa. Segera dia mencapai tangan lelaki itu dan bangun.

Dia ingin memberitahu segala-galanya yang berlaku tadi kepada Andy tetapi entah kenapa suaranya bagaikan tersekat di kerongkong.

“Arisa, aku tahu kehadiran aku tak pernah kau harapkan. Aku tak nak tambahkan kesedihan kau. Kalau memang aku langsung tak diperlukan, aku akan pergi. Aku akan pergi, Arisa. Kalau itu mampu membuatkan kau bahagia, aku rela.” Ucapan Andy itu membuatkan Arisa terpana. Kenapa kini seorang demi seorang ingin meninggalkan dirinya?

“Andy, apa yang kau cakap ni?” tanya Arisa. Sudah mengalir air mata di pipinya.

“Selamat tinggal Arisa,” ucap Andy sebelum pergi meninggalkan dia sendirian di situ.

Arisa ingin memanggil Andy tetapi dia tidak mampu. Dia ingin mengejar dan menghalang lelaki itu daripada pergi tetapi kakinya tidak mampu diangkat pun.

Arisa tiba-tiba tersedar. Pantas diperhatikan sekeliling. Dia sedang berada di dalam kamarnya. Pastilah dia hanya bermimpi tadi. Suara seseorang sayup-sayup kedengaran dari luar rumah. Arisa terus bangun dan bergegas turun.

Andy berada di luar rumahnya. Pastas dia mendapatkan lelaki itu. Andy sedang kaku berdiri di situ. Langsung tidak dipedulikan hujan yang turun mencurah-curah.

“Andy, kenapa ni?” tanya Arisa cemas.

“Arisa, aku tahu selama ini aku hanya mengganggu hidup kau. Tapi lepas ni aku janji aku takkan ganggu kau lagi. Aku takkan susahkan kau lagi dengan kehadiran aku. Aku hanya nak tengok kau tersenyum macam dulu.” Arisa terkejut dengan kata-kata Andy.

“Kenapa Andy? Kenapa semua orang nak tinggalkan aku? Apa salah aku Andy?” Arisa membalas lemah. Air matanya bersatu dengan titis-titis hujan. Dia benar-benar tidak tahu apa yang patut dia lakukan.

“Arisa, semua orang berhak bahagia. Termasuklah kau. Mungkin aku tak tahu macam mana rasa sakitnya dikhinati insan yang disayangi tetapi percayalah yang aku ikhlas cintakan kau,” ucap Andy perlahan.

“Satu yang patut kau tahu Arisa, aku takkan tinggalkan kau sendirian. Aku sentiasa ada untuk kau Arisa.” Kata-kata Andy itu membuatkan Arisa tidak keruan. Teresak-esak dia menangis.

Tangan Andy memegang tangan Arisa. Mendekatkan dirinya dengan Arisa. Pantas menarik Arisa ke dalam pelukannya. Membiarkan Arisa melepaskan segala kesedihan di situ. Cukuplah sampai di situ saja. Dia tidak ingin melihat gadis kesayangannya itu bersedih lagi. Biarlah esok dan hari-hari seterusnya hanya kebahagiaan yang menyelubungi hidup seorang gadis bernama Arisa itu.

PANDANGANNYA dihalakan terus ke arah pemandangan dari atas bukit itu. Sesekali angin petang bertiup kuat. Arisa mengeluarkan segalanya dari dalam kotak lusuh itu. Dia membelek-belek seketika sebelum mencampak terus ke bawah bukit. Tiada lagi cinta itu di hatinya. Semuanya telah jadi sejarah. Tiada apa lagi untuk dikesal dan dikenang. Kini, ada yang lebih berharga untuk dimiliki. Kebahagiaan yang hakiki dan abadi.

Arisa menoleh ke sebelah saat terasa bahunya disentuh. Senyuman manis diukirkan untuk lelaki itu. Tiada apa yang lebih membahagiakan daripada saat itu.

‘Terima kasih Tuhan untuk kebahagiaan ini. Kini, aku kembali merasa manisnya tersenyum. Bahagianya ketawa gembira. Terima kasih Tuhan untuk seorang Andy dalam hidupku.’


TAMAT

samaratungga
06-27-2010, 12:43 PM
cerpen yang indah :up:

cahaya kesyukuran
06-27-2010, 02:52 PM
cerpen yang indah :up:

terima kasih sam. :)

Daniel
06-27-2010, 06:09 PM
cahaya...lagi satu sweet punya cerpen...;)

cahaya kesyukuran
06-28-2010, 01:54 PM
cahaya...lagi satu sweet punya cerpen...;)

Terima kasih Daniel! :)

zahra
06-28-2010, 04:40 PM
hmm..permulaan yg agk baik..tp hehe..sorry yew..:)just pendapat zahra..ekceli t'tanye2 gak..pew kesilapan yg dani penah buat b4 dis..n then pew reason arisa accept die..huhu..if leh huraikan..mungkin much better..pew pun..time kasih coz sharing dis cerpen..like d ending..:up:

cahaya kesyukuran
06-29-2010, 09:56 AM
hmm..permulaan yg agk baik..tp hehe..sorry yew..:)just pendapat zahra..ekceli t'tanye2 gak..pew kesilapan yg dani penah buat b4 dis..n then pew reason arisa accept die..huhu..if leh huraikan..mungkin much better..pew pun..time kasih coz sharing dis cerpen..like d ending..:up:

Terima kasih Zahra utk pendapat tu. Memang cahaya sengaja tak huraikan apa kesilapan dani yg dulu dan kenapa arisa terima dia balik sebab tu bukan persoalannya. yg cahaya cuma nak sampaikan bagaimana sakitnya arisa selepas dikecewakan dani utk kali kedua. perasaan arisa dan andy yg mnjadi keutamaan cahaya untuk tulis. mmg cahaya nak tulis cerpen yg ringkas je. sekadar untuk membawa pmbaca memahami dan mndalami perasaan arisa dan andy tntang perasaan kecewa, cinta, persahabatan dan perngorbanan. btw, terima kasih utk komen Zahra. :)

lavender90
07-31-2010, 01:55 AM
nice story...i like!

cahaya kesyukuran
11-09-2010, 11:26 PM
nice story...i like!

Thanks Lavender :)

ŢïăRâЯőşSă
11-19-2010, 04:43 PM
:up: best!