PDA

View Full Version : Kehadiran



alia_lamia
05-12-2008, 03:20 PM
...terkadang terlupa pada kehadiran yang datang
tatkala kesempitan waktu tak bisa terhalang
namun tak mungkin kita dapat mengulang
ceritera semalam dan saat yang telah hilang...

alia_lamia
05-12-2008, 03:24 PM
Seperti biasa di setiap kali kehadirannya akan kedengaran suaranya memanggil nama Ina, adik ku, beberapa kali. Aku berpura-pura tidak mendengar suaranya. Kemudian dia menjenguk di tingkap. Dia merungut melihat aku asyik menulis dan tidak memperdulikan kehadirannya. Aku menoleh sambil memerhatikan wajahnya yang kelihatan marah.

"Ina ada di rumah, Abang Sham ?" Soalnya perlahan tetapi tegas.

"Ada..." Aku menjawab pendek.

"Bila sampai ?"

"Semalam..." Aku menjawab acuh tak acuh. Bukan aku tidak suka melayannya, tetapi sikapnya yang masih keanak-anakan itu membosankan ku. Tambahan pula aku terlalu sibuk menyiapkan 'homework' yang diberikan oleh pensyarah ekonomi ku.

Dalam usianya yang hampir lapan belas tahun itu, sikapnya masih tak berubah. Sama seperti dua tahun dulu. Semenjak dia menjadi akrab dengan Ina, adikku, yang sebaya dengannya. Kecuali badannya yang nampak semakin berisi, semakin matang.

"Masuklah, Liza." Suara adikku yang menjenguk dari ruang tengah rumah mengejutkan ku.

Dia tanpa segan-silu terus memanjat tangga kayu, melepasi serambi dan ruang tamu tempat ku berbaring dan hilang di ruang tengah rumah. Namun gelak-tawanya yang keanak-anakan itu jelas kedengaran menembusi dinding papan yang memisahkan kami.

Aku meneruskan kerja ku di ruang tamu. Tetapi kehadirannya mengurangkan tumpuan ku kepada pelajaran yang sedang ku ulangkaji. Suaranya yang bercampur-baur dengan suara adik ku, Ina, mengganggu ketenangan ku. Tetapi aku tidak pula menegurnya. Memang mereka selalu begitu bila bersama.

Memang keakrabannya dan adik ku jelas ketara. Mereka belajar di sekolah yang sama di Pekan B, sekolah yang aku salah seorang bekas pelajarnya. Dan mereka sama-sama pula akan mengambil peperiksaan SPM beberapa bulan lagi. Keakraban mereka jugalah yang menyebabkan aku begitu mengenali tingkah-lakunya.

Rumah ku hanya dipisahkan empat buah rumah dari rumahnya. Tetapi kerana rumah-rumah di kampung ku tersusun berderetan, jarak itu boleh dikatakan begitu hampir. Dan ini memudahkannya mengulangi kehadirannya di rumah ku.

Semasa berada di rumah ku pun dia tidak kelihatan seperti orang asing, seperti berada di rumah sendiri, samada semasa berada di ruang tamu, di ruang tengah atau di serambi. Malah kadang-kadang turut membantu ibu dan adik ku di dapur. Tapi dia jarang turut bersama menghadapi hidangan keluarga ku. Mungkin kerana sifat keanak-anakannya itu menjadikannya mudah mesra dengan seluruh keluarga ku. Cuma dengan ku sahaja dia tidak begitu rapat. Dia tampak segan dan menghormati ku. Walaupun kadang-kadang kata-katanya yang berterus-terang itu tidak aku senangi, aku tidak pula membencinya. Hanya aku kerap merasa bosan dengan sikapnya yang keanak-anakan itu.

Aku sedang berkemas-kemas petang itu ketika dia menjenguk di tingkap. Dan dia kelihatan serba-salah melihat aku sedang berpakaian.

"Hah ! Lain kali beri salam dulu," suara ku meninggi.

Dia tersenyum malu. "Abang Sham dah nak balik ke ? Bukankah baru tiga hari di sini ?" Dia menyoal.

"Cuti cuma tiga hari..."

"Ina ada di rumah, Abang Sham ?"

"Entah. Cubalah tengok sendiri." Jawab ku sambil lewa dengan harapan dia akan segera berlalu.

Tapi tidak. Dia masih memerhatikan ku bersusah-payah mengemas barang-barang yang akan ku bawa pulang ke kampus. Giliran aku pula menjadi serba-salah bila diperhatikan begitu.

"Kesian..." Katanya, menyindir. Lalu segera meninggalkan ku termangu-mangu sendirian. Tersentuh juga hati ku mendengar kata-katanya itu.

Aku kembali ke kampus setelah menghabiskan cuti selama tiga hari untuk meneruskan perkuliahan. Meneruskan pelajaran. Selama tiga hari cuti itu, aku menerima dua kali kehadirannya. Aku tidak tahu mengapa kedatangannya yang tidak bermakna itu telah menjadi penting bagi ku. Aku cuba tidak menghiraukan setiap kali kehadirannya, tetapi ia telah menjadi sebahagian dari ingatan-ingatan yang sukar dilupakan.

alia_lamia
05-12-2008, 03:30 PM
Cuti pertengahan semester pertama bermula pada awal bulan ogos. Aku menghabiskan masa cuti di kampung. Hampir setiap hari aku menerima kehadirannya yang tidak bermakna itu. Namun aku sering memerhatikan telatahnya ketika bersama Ina, adik ku. Sikapnya kelihatan masih tidak berubah. Aku kehairanan dan tertanya-tanya. Mungkinkah dia tidak menyedari pertambahan usianya ? Atau mungkinkah suasana persekolahan yang masih dialaminya menyebabkan dia tidak berpeluang memikirkan hal-hal lain selain dari pelajaran dan peperiksaan yang akan ditempuhinya ?

Aku juga sibuk, malah lebih sibuk darinya. Tetapi sekurang-kurangnya aku telah bersedia untuk menghadapi alam pekerjaan. Dan sehingga cuti seminggu itu akan berakhir, aku masih tidak nampak tanda-tanda kedewasaan pada dirinya.

Pengajian ku diteruskan lagi. Perkuliahan demi perkuliahan. Dan peperiksaan demi peperiksaan.

Tetapi Hari Raya Puasa tahun itu jatuh di pertengahan peperiksaan akhir semester pertama ku. Aku serba-salah memikirkan samada mahu pulang ke kampung atau tidak. Hanya dua hari kesempatan yang ada untuk bergembira bersama keluarga kerana sehari selepas itu aku perlu menghadapi satu lagi peperiksaan.

Aku mengubah pendirian di saat-saat akhir untuk berhari-raya di kampung. Aku bertolak pulang sehari lebih awal sebaik sahaja menamatkan satu kertas dari lapan subjek yang ku ambil.

Tanpa ku duga, dalam perjalanan pulang, aku menemui Liza di pekan B. Pada mulanya aku cuma bercadang untuk membeli sedikit buah tangan buat adik-adik ku di kampung.

"Hai ! Nak beli baju raya ke ?" Tegur ku ketika ternampak dia sedang membelek-belek pakaian di sebuah kedai.

Di sungguh terkejut melihat ku. Tetapi tersenyum ketika aku menghampirinya. Aku mengulangi soalan ku kerana dia masih tidak menjawabnya tanpa memperdulikan pelanggan-pelanggan lain yang keluar masuk di kedai itu.

"Jalan-jalan saja. Tak pernah nampak di rumah. Bila Abang Sham sampai ?" Soalnya pula.

"Baru sebentar. Belum pun sampai di rumah."

Aku terlihat tanda-tanda kegelisahan di wajahnya dengan kehadiran ku seakan ada sesuatu yang membimbangkannya. Aku ingin bertanya sebabnya tetapi soalan itu tersangkut di kerongkong ku.

"Sorang saja ?" Aku meneruskan pertanyaan.

"Tidak. Dengan kawan."

"Mana dia ? Tak nampak pun."

Dia enggan memberitahu seakan malu. Aku mendesaknya hingga dia mengalah.

"Itu. Di sana 'tu. Yang sedang bercakap dengan tauke kedai 'tu." Dia menuding jarinya ke arah dalam kedai itu.

Aku kehairanan bagaikan tidak percaya dengan apa yang ku lihat. Kawannya seorang seorang lelaki. Memang pada mulanya aku menyangka tentulah seorang perempuan. Sangkaan ku rupanya meleset sama sekali.

Dan bila teman lelakinya itu menoleh ke arah kami, aku merasa lebih hairan lagi. Agaknya teman sekolahnya. Patutlah dia gelisah, bisik hati kecil ku.

Sungguh tak ku duga, dalam diam-diam, rupanya dia sudah mempunyai teman lelaki. Aku tidak merasa hairan jika orang lain seperti itu kerna aku sendiri pun pernah mengalaminya tika di sekolah dulu. Tetapi bila terjadi padanya, hati ku tertawa kecil sendirian. Rupanya ada juga yang tertarik dengan sikapnya yang keanak-anakan itu.

"Maafkan abang kerana mengganggu. Abang hendak pulang dulu." Aku memohon setelah menyedari kehadiran ku di situ tidak disenangi mereka.

"Datang ke rumah Liza raya nanti," dia mempelawa.

"Baiklah. Insya Allah." Jawab ku sambil meninggalkan mereka berdua di situ.

Dalam hati ku masih tertanya-tanya akan perubahan pada dirinya terutama pada gaya percakapannya itu. Mungkinkah dia telah menjadi lebih dewasa tanpa ku sedari ? Namun hati ku masih tetap menolak kebenarannya. Masih dapat aku rasakan sifat-sifat keanak-anakannya itu seperti dua tahu dulu, sama seperti ketika jiwa yang ideal dan ingin tahu itu menguasai diri ku.

alia_lamia
05-12-2008, 03:38 PM
"Assalamualaikum. Ina ada di rumah, Abang Sham ?" Pertanyaan yang biasa ku dengar itu berulang pada petang sehari sebelum Hari Raya.

Aku menoleh. Merenungnya. Dan tersenyum mengingatkan pertemuan di Pekan B dua hari lepas.

"Mengapa Abang tertawakan Liza ?" Dia kehairanan.

"Tak sangka. Sungguh tak sangka..." Aku terus membuatkannya tertanya-tanya.

"Tak sangka apa 'ni ? Apa maksud Abang Sham ?" Dia semakin gelisah kerana aku tidak berterus-terang.

"Siapa namanya ?" Aku meneruskan.

"Siapa ?"

"Ah! Buat-buat tak tahu pulak. Di Pekan B tempoh hari. Dah ada teman istimewa sekarang..."

"Taklah. Kawan sekolah." Dia menafikan.

"Satu kelas ?"

"Tidak."

"Hah. Kawan sekolah. Lelaki pulak 'tu. Mestilah istimewa 'kan ?" Aku terus mengusiknya.

"Ah, sudahlah," dia cuba mengelak. "Ina ada ?"

"Marah ? Merajuk ? Silalah naik Tuan Puteri. Cik Ina ada di dalam..."

Ku lihat wajahnya berubah warna. Kemerahan. Dia meninggalkan ku duduk di tangga sendirian. Namun aku masih sempat melihat telalahnya yang keanak-anakan itu. Aku jarang mengusiknya. Tetapi bila sesekali aku berbuat begitu, marahnya akan memakan masa beberapa hari.

Aku menegurnya ketika dia muncul dari ruang tengah bersama Ina, adik ku. "Marah lagi. Batal puasa nanti."

Dia tidak menjawab tetapi tergesa-gesa hendak meninggalkan rumah ku. Masih ketara kemarahan di wajahnya itu.

"Hendak ke mana, Ina ? Ke rumah Tuan Puteri 'tu ke ?" Aku bertanya dengan nada sindiran sambil menjeling ke arahnya.

Ina angguk. Tetapi dia pura-pura tidak memandang ku. Wajahnya semakin serius. Masih marah.

Aku tersenyum sendirian sebaik sahaja mereka berlalu. Tetapi dalam hati kecil ku, aku menyesali sikap ku itu. Pasti dia tidak mahu menegur ku lagi. Tapi sampai bila ? Aku tidak tahu. Ah, esok hari raya, aku akan minta maaf. Aku cuba memujuk hati ku. Bukankah dia ada menjemput ku ke rumahnya ?

Aku seolah-olah masih tidak memahami setiap kali kehadirannya ke rumah ku. Tiap kali dia datang, pertanyaan yang sama kedengaran. Ina ada di rumah ? Soalnya. Ada, jawab ku pendek. Atau dia datang tanpa aku sedari kehadirannya. Tiba-tiba gelak-tawanya bergema di runag tengah rumah ku. Aku tidak menegurnya. Atau dia datang. Dan aku melihatnya tetapi berdiam diri. Atau dia datang lagi dan aku mengusiknya. Dia marah. Tidak bertegur-sapa selama beberapa hari. Aku memohon maaf dan berbaik semula. Ia terus berulang sejak sekian lama.

alia_lamia
05-12-2008, 03:39 PM
"Assalamualaikum !"

"Waalaikumussalam. O, Abang Sham ! Naiklah." Dia tersenyum girang menyambut kunjungan ku di petang raya itu seolah-olah tidak menduga aku akan datang.

Aku gembira melihat perubahannya. Mungkin dia telah memaafkan ku.

"Jemputlah masuk. Ina pun ada di dalam ?" Dia mempelawa.

"Ina ? Kalau macam 'ni tak jadilah."

"Hairan. Takkan malu pada adik sendiri..."

Aku terdiam memikirkan kebenaran kata-katanya.

"Baiklah." Sambil menyambut tangannya yang berlapik selendang biru lembut itu. Kami bersalaman. Kelihatan keayuan wajahnya dalam baju kurung yang serba baru itu.

"Ha ah. Macam 'tulah. Duduklah dulu."

Aku telah dapat merasakan tibanya giliran ku dipermainkan pula.

"Di lantai atau di meja ?" Aku cuba berjenaka untuk menghilangkan rasa malu dan serba-salah yang menyelinap di hati ku walaupun aku tahu meja dan kerusi telah tersusun rapi di ruang tamu itu. Malu dan serba-salah sebab Ina, adik ku, turut mengetahui kehadiran ku ke situ yang cuba ku sembunyikan pada mulanya.

"Takkanlah di lantai." Katanya. "Tunggu sekejap, ya."

Dia terus menghilangkan diri ke dalam ruang tengah rumah.

Aku merenung keluar jendela sendirian. Termenung memikirkan persahabatan yang tidak pasti itu. Mungkinkah dia telah menjadi salah seorang sahabat ku. Dan mungkinkah persahabatan ini semakin akrab ?

"Silalah minum." Dia mempelawa, ketika muncul semula bersama Ina, sambil meletakkan air minuman di depan ku. Ina turut sama membantu menghidangkan kuih-muih.

"Takkan abang orang saja yang minum," kata ku.

"Ina, minumlah sama." Dia menyarankan.

"Kau juga, Liza." Aku menambah.

Dia menggelengkan kepala. Menolak.

"Takkan nak jadi pemerhati saja. Minumlah sama." Aku mendesak.

"Baiklah," keluhnya walaupun dia agak keberatan menikmati hidangan kuih-muih itu bersama ku.

Kami berbual perkara-perkara biasa yang menyentuh soal-soal pelajaran serta peperiksaan yang sedang aku tempuhi dan yang akan mereka hadapi. Aku dapat merasakan, dari gaya percakapannya, dia tidak begitu yakin untuk menghadapi peperiksaan itu. Tapi bagi ku itu perkara biasa. Aku pun dulu begitu. Tidak yakin. Tapi akhirnya berjaya.

Aku meneguk minuman untuk kesekian kalinya sambil memandangnya. Aku merenungnya agak lama yang membuatkannya jadi tak menentu.

"Masih marah lagi ?" Aku bertanya. Mengalihkan perbualan.

"Tidak. Sudah dimaafkan," katanya perlahan.

"Bila ?"

"Sejak bermula gema takbir malam tadi."

Aku sedar kata-katanya itu cuma gurauan. Namun aku berkeyakinan yang dia sudah memaafkan ku. Aku dapat menduga dari senyumannya ketika menyambut kehadiran ku tadi.

"Dia tak datang ?" Aku menyoal pendek.

"Siapa ?" Dia kehairanan.

"Si dia 'tulah." Aku menambah tanpa menoleh padanya. Tanpa menyedari perubahan di wajahnya.

Dia tidak menjawab soalan ku. Tetapi mengusulkan pada Ina tajuk perbualan yang lain sehinggalah kunjungan ku kerumahnya berakhir setengah jam kemudian.

Aku tidak ada di rumah semasa kunjungan balasnya lewat petang itu. Ketika itu aku sedang menziarahi beberapa buah rumah saudara-mara yang belum di kunjungi. Tetapi Ina mengingatkan ku tentang kata-kata ku ketika berkunjung ke rumahnya.

"Liza marah lagi pada Abang," adik ku memberitahu.

"Kenapa ?" Aku kehairanan.

"Abang sebut lagi pasal si dia 'tu. Sebenarnya Liza dah putus dengan si dia tu sebab si dia tu marah bila nampak Abang terlalu mesra dengannya ketika bertemu di Pekan B dulu." Ina menerangkan.

"Mana Ina tahu ?" Aku masih ragu-ragu.

"Liza yang beritahu. Dia datang tadi semasa Abang tak ada."

Aku rasa bersalah setelah menyedari kesilapan ku. Aku tahu hubungan itu akan renggang semula. Tetapi tiada jalan penyelesaian dapat ku temui. Aku bercadang meminta maaf. Malangnya petang esok aku akan kembali semula ke kampus. Tak mungkin aku akan pergi mengunjungi rumahnya sekali lagi. Rasa bersalah terus menyelubungi hati ku. Dan sememangnya aku yang bersalah.

Begitulah rapuhnya persahabatan di usia remaja, kata hati ku. Perasaan pasti terganggu seketika. Kemudian gangguan itu hilang perlahan-lahan dibawa arus kehidupan. Persahabatan yang lain mungkin terbina. Mungkin lebih teguh dan mungkin lebih rapuh.

alia_lamia
05-12-2008, 03:41 PM
Aku kembali semula ke kampus untuk menyambung peperiksaan yang belum berakhir. Hati ku sedikit kesal kerana kesalahan yang belum dimaafkannya. Aku berharap dia telah memaafkannya.

Dalam tempoh seminggu peperiksaan pun tamat. Aku pulang semula ke kampung dengan dada yang lapang sambil mengharapkan kemaafan darinya. Cuti akhir semester selama sebulan itu akan ku habiskan di kampung sahaja.

Di minggu pertama percutian aku tidak menerima kehadirannya. Ia sangat menghairankan ku. Ingin ku tanyakan sebabnya pada Ina tetapi rasa malu menjadi halangan terbesar.

Aku nampaknya telah mula memberi perhatian padanya disebabkan kesilapan- kesilapan kecil yang ku lakukan. Mungkinkah kehadirannya selama ini amat bererti bagi ku ? Atau sekadar kehadiran seorang sahabat ? Pertanyaan itu selalu menyerang di benak ku. Sedangkan aku sendiri tidak dapat memberikan kepastian.

Desakan hati ku tidak dapat ku halangi lagi. Malah telah memecahkan pintu rasa malu dan ragu ku.

"Ina, kenapa Liza dah lama tak kelihatan ?" Aku bertanya dengan rasa curiga.

"Liza ? Dia tinggal di asrama..." Ina menjelaskan.

"Dulu tidak. Sejak bila ?"

"Semasa di tingkatan empat dulu, memanglah. Tapi sejak di tingkatan lima ini, dia tinggal di asrama sekolah. Abang tak tahu ke ? Liza tak pernah beritahu ?" Adikku, Ina, menampakkan kehairanan.

Aku menggelengkan kepala.

Bukankah selama ini banyak perubahan pada dirinya yang tidak ku ketahui ? Bukankah aku sentiasa terpisah jauh darinya ? Dan seharusnya aku tak mengetahuinya kerana kami jarang bertemu. Dan jika sesekali bertemu, soal-soal peribadi itu jarang terucap.

Di minggu ketiga percutian ku barulah aku dapat bertemu dengannya. Kehadirannya ke rumah ku pada petang sabtu itu memberi peluang untuk ku berbual lama dengannya. Ina, adikku, tiada di rumah ketika itu. Dia ke pekan mengikut ibu ku. Aku sendirian membaca buku di serambi.

Aku menyambutnya dengan senyuman sambil menerangkan keadaan ku yang sendirian. Menyedari keadaan itu, dia ingin segera berlalu. Lalu ku cuba menahannya. Kelihatan dia menjadi serba-salah dan tak menentu. Dia nampak gelisah.

"Kenapa tergesa-gesa ? Ada perkara mustahak ke ?" Aku bertanya.

"Tidak. Tak ada apa-apa."

"Kau nampak berbeza sekarang." Aku menambah.

"Biasa."

Jawabannya yang ringkas itu membuatkan aku kehabisan idea. Apa lagi yang dapat ku katakan ? Buat seketika suasana menjadi sepi di antara kami.

"Tak naik ke rumah dulu ?" Aku mengusulkan.

Dia nampaknya keberatan tetapi tidak membantah.

"Abang buatkan air ?" kata ku sekadar tidak terus membisu.

"Tak payah bersusah-susah," katanya sambil tertawa kecil.

"Sebenarnya apa tujuan kau kemari tadi ? Boleh aku tahu ?"

"Tak ada apa-apa. Sekadar ingin berbincang mengenai peperiksaan yang bermula minggu depan dengan Ina."

Hampir aku terlupa kehadiran bulan November itu amat bermakna baginya. Aku langsung tidak menyedarinya. Memang Ina ada memberitahu, tetapi aku tidak menghiraukannya.

"Awak rasa boleh lulus ?" Aku bertanya lagi setelah merasakan dia menunjukkan minat berbincang tentang peperiksaan yang akan tiba.

"Entah. Susah nak kata. Tak yakin."

"Selalunya memang begitu. Abang dulu pun sama."

Suara kami terus memenuhi serambi rumah ku. Hanya untuk seketika. Suasana kembali sepi. Tetapi hati kami sedang sibuk melayani perasaan masing-masing.

Aku merenung matanya dalam-dalam. Ku cuba membaca apa yang tersirat di hatinya. Wajahnya menunjukkan seakan ada sesuatu yang terbendung di hatinya. Dan perasaan seperti itu juga sedang mencengkam di hati ku. Aku tidak dapat lagi menahan kata-kata ku dari terlepas. Kata-kata yang berbaur dengan perasaan yang bergetar.

"Abang sukakan kau, tapi..." Kata-kata itu terlepas dari perasaan yang telah lama terpendam. Tetapi akhirnya menjadi mati. Aku tidak begitu menyedari apa yang aku ucapkan. Namun aku dapat merasakan betapa sukar untuk melafazkannya.

Dia memandang ke arah ku. Tersintak. Tidak menduga aku berani berkata begitu. Kemudian dia tunduk memandang lantai. Sepi menyelubungi beberapa ketika.

"Liza pulang dulu," katanya tanpa menoleh ke arah ku. Dan terus berlalu.

Ketika dia menuruni anaktangga, aku sempat bersuara, " Ina pulang lewat petang nanti. Datanglah."

Dia menoleh dan mengangguk tanpa iringan senyuman.

Aku masih terpaku di kerusi ketika dia hilang dari pandangan mata ku. Dan fikiran ku masih teringat padanya. Ragu-ragu samada aku telah melakukan kesilapan. Tetapi hati ku tetap menolaknya. Sebaliknya bersetuju dengan sikap berterus-terang ku. Namun aku masih gagal menyuarakan rasahati yang terpendam. Mungkinkah aku tersalah memilih waktunya ? Atau mungkinkah terlalu awal bagi ku menyatakannya.

alia_lamia
05-12-2008, 03:41 PM
Lewat petang itu dia sekali lagi berkunjung ke rumah ku. Ibu dan Ina telah pun kembali dari pekan berhampiran. Tetapi yang menakjubkan ku ialah senyumannya ketika aku menjenguk di pintu menyambut salamnya. Aku bagaikan tidak percaya melihat dia begitu cepat berubah.

"Maafkan Liza," katanya ketika telah hampir pada ku.

"Sepatutnya abang yang meminta maaf," balas ku.

Dia ingin meneruskan kata-katanya lagi, tetapi Ina telah muncul dari ruang tengah rumah.

Aku tersenyum gembira memerhatikan perubahan itu. Dia turut tersenyum seakan saling memahami. Dan senyum itu terus bertukar menjadi gelak-tawa yang semakin meninggi. Ina termangu-mangu melihat suasana itu.

"Tak ada apa-apa, Ina," katanya pada akhirnya apabila tawa semakin reda.

Sebentar kemudian aku meninggalkan mereka dalam tajuk peperiksaan mereka.

Tetapi sebelum dia pulang menjelang senja itu, aku menegurnya perlahan, tanpa disedari olah Ina, "Lain kali kita jumpa lagi."

Dia mengangguk. Memahami maksud ku.

Aku mengharapkan kehadirannya sebelum dia kembali ke asrama. Tetapi sehingga senja di keesokan harinya, aku tidak nampak kemunculannya. Mungkin itu adalah lebih baik baginya, bisik hati ku. Aku sedar peperiksaannya lebih penting dari memikirkan perkara-perkara lain sebelum tiba waktuya.

Walaupun kehampaan tetap membaluti hati ku, aku tidak begitu kecewa kerana tidak dapat menemuinya. Mungkin suatu masa nanti aku tetap akan dapat berjumpa dengannya atau menerima kehadirannya, kata hatiku penuh yakin.

alia_lamia
05-12-2008, 03:42 PM
Selama lima bulan terakhir di pengajian semester kedua itu, aku hanya dapat menerima kehadiran surat-surat yang dikirimnya.

"...sebenarnya Liza belum mahu terikat apa-apa. Liza harap abang mengerti..." begitulah tulisnya dalam salah satu suratnya.

Lalu akun pun menjawab, "Abang juga tidak mahu mengikat diri mu buat masa ini, Liza. Kau masih bebas sebagaimana burung-burung di angkasa. Tapi kiranya kau telah bersedia, abang usahlah dilupakan..."

Dan perhubungan melalui surat itu terus berlarutan sehingga pengajian semester kedua ku berakhir. Selama lima bulan itu aku tidak pernah melihat wajahnya. Aku sendiri pun jarang pulang ke kampung. Apabila sesekali aku pulang, dia pula tiada di rumah.

Sesampainya di kampung untuk memulakan cuti panjang semester kedua itu, aku lalu menyedari kewujudan titik-titik akhir berhubungan itu.

Dia juga turut menanti kepulangan ku di rumah ku.

"Hai, Bang Sham," tegurnya ketika aku sedang memanjat anak-anak tangga rumah ku.

Aku tersenyum menyembunyikan rasa terkejut ku tanpa menduga kehadirannya di situ. Aku turut merasa gembira melihat seri wajahnya dan rindu pun terubat.

Tetapi sebaik sahaja aku melangkah masuk melewati serambi, aku merasakan ruang tamu rumah itu begitu anih apabila melihat dia tidak sendirian. Ayah, ibu dan Ina adikku, memerhatikan ku dengan penuh pengertian. Mereka lalu meninggalkan kami berdua seolah-olah memahami kehendak hati kami ketika itu.

"Apa maknanya semua ini, Liza ?" Aku bertanya dengan nada kehairanan.

"Abang akan mengerti akhirnya. Keluarga abang telah pun mengetahuinya," katanya tenang tanpa mengindahkan reaksi ku.

"Tapi kita telah berjanji merahsiakan perhubungan ini."

"Liza tahu. Tapi Liza terpaksa beritahu mereka."

"Kenapa ?" suaraku meninggi.

"Kita terpaksa berpisah."

"Maksud kau ?" aku mendesak.

"Abang 'kan tahu, keputusan SPM telah pun keluar."

"Dan kau lulus ?" Aku memotong.

Dia mengangguk.

"Liza tak dapat meneruskan pelajaran. Jadi Liza akan berkerja. Liza akan ke rumah Pakcik Liza di Singapura." Suaranya masih tenang. Amat jauh berbeza dari keadaan ku yang seakan tak terkawal.

"Apa kena-mengena dengan perhubungan kita ?" Hati ku masih keras menolak keputusannya. Suara ku masih meninggi menyerlahkan rasa tidak puas hati.

"Abang Sham, dengarlah. Sepatutnya Liza telah berangkat minggu lepas. Tetapi Liza tak sanggup meninggalkan abang tanpa sebarang pesan. Itulah sebabnya Liza tunggu abang pulang." Wajahnya mula nampak terharu. Mula menampakkan kilauan jernih di matanya.

Aku terdiam turut merasa begitu. Tunduk membisu.

"Seperti kata abang dulu, kita masih belum terikat apa-apa. Kita masih bebas seperti burung-burung di angkasa," sambungnya lagi. Sedikit keriangan terpancar di wajahnya.

Aku menoleh, merenung tepat ke arah wajahnya.

"Bila kau akan berangkat ?" Soal ku perlahan.

"Esok."

"Esok ?" Aku tersintak. "Bukankah abang baru pulang ?"

"Inilah peluang terakhir bagi Liza untuk mendapatkan kerja itu."

"Apa kerjanya ?" Aku bersuara perlahan. Mulai mengalah padanya.

"Rahsia." Dia tersenyum melihat perubahan ku. "Liza akan beritahu sebaik sahaja mendapatkannya."

Dari Ina aku mendapat tahu, ayah dan ibu bersetuju dengan tindakannya. Ayah dan ibu mahukan aku menamatkan pengajian terlebih dahulu. Aku mula sedar bagaimana perasaan telah banyak mempengaruhi diri ku.

Esoknya aku menemaninya hingga ke perhentian bas. Sebelum bas bertolak, aku sempat bersalaman dengannya. Aku tahu, selepas itu tiada lagi kehadirannya dalam hidup ku.

Aku memerhatikannya sayu ketika bas mulai bergerak. Liza yang ku perhatikan ketika itu bukan lagi Liza seperti tiga tahun dulu. Liza yang ku perhatikan itu lebih matang dan lebih dewasa dari usianya. Dan di situlah juga aku melihatnya buat kali terakhir sebelum menerima kad jemputan ke majlis perkahwinannya setahun kemudian.
[ TAMAT ]