View Full Version : Pertemuan
alia_lamia
05-08-2008, 02:06 PM
...sepanas sinar mentari bahang mu
selembut angin petang nyaman mu
sesejuk embun pagi segar mu
sebiru air laut warna mu
alangkah rindunya pada... pertemuan...
alia_lamia
05-08-2008, 02:08 PM
Pertemuan pertama itu telah mengukir sebuah kisah. Pertama kali setelah sekian lama terpisah. Aku tidak menginginkan pertemuan itu di awal dua puluhan usia ku. Masih terlalu mentah dan rapuh seperti yang pernah dikatakannya. Dan memang ku sedari akan kebenaran katanya itu tujuh tahun dulu.
"Hai !"
"Hai... ?"
"Tak kenal lagi ke ? Awak Azman, bukan ?"
"Siapa ? Aku ?" Aku kaget. Ku perhatikan di sekitar ku, di celah-celah orang ramai di perhentian bas jalan TAR itu, kiranya soalan itu bukan ditujukan pada ku. Tetapi tidak kelihatan sesiapa pun, selain dari ku, yang menunjukkan reaksi. Ku toleh ke arah dua gadis yang masih memandang ku.
Sejuta bayangan wajah-wajah menjelma di hati ku. "Siapa dia ?" Pertanyaan itu serta-merta menyerbu benak ku. Tetapi wajah ayu serta dua mata yang nakal itu seakan pernah ku kenal lama dulu. Kuala Lumpur yang sentiasa sibuk itu rupanya bukanlah terlalu besar untuk mengasingkan diri dari rakan-rakan.
"Masih tak ingat ? Tak mengapalah. Maafkan saya. Mungkin saya tersalah orang. Mari Nora, kita pergi !"
Aku menjadi lebih kaget. Tanpa menyedari memanggilnya.
"Tunggu dulu, Yati... Yati, bukan ?"
Dan dia serta-merta menoleh. Mengukir senyuman. Dia mendekati ku semula dan menarik tanganku menghampirinya. Mesra. Wajah dan senyumannya segera mengembalikan kenangan tujuh tahun dulu.
Masih seperti dulu. Terlalu mudah merajuk, kata hati ku. Masakan aku lupa pertengkaran semasa Hari Guru itu. Aku mencadangkan ditubuhkan kumpulan koir sahaja supaya semua rakan sekelas dapat turut serta. Tetapi dia mahu supaya diadakan tarian yang bercorak kebudayaan.
Tentulah mengikut suara ramai pandangan ku diterima. Dan dia marah pada ku dengan mengatakan persembahan koir bukan bercorak kebudayaan kita. Tetapi aku lebih memegang konsep penyertaan ramai dari teman sekelas. Dia merajuk kerana cadangannya ditolak. Aku berusaha memujuknya. Akhirnya dia bersetuju menyertai persembahan itu pabila dipilih sebagai penyanyi utama.
"Aku sangka kau telah lupa pada ku."
"Masakan gadis secantik kau boleh di lupakan begitu saja."
"Ah... kau ni tak habis-habis memuji aku."
"Memang kenyataan."
"Perkenalkan ini teman ku, jiran sebelah rumah ku, Nora."
Berpandangan, "Azman..."
"Nora..."
"Ke mana kau menghilang bila tamat sekolah dulu, Man."
"Sepatutnya aku yang bertanya. Ke mana kau menghilang sejak berpindah sekolah dulu ?" Aku memotong pantas.
"Aku di sini. Maksud aku, bersekolah di sini. Tapi aku tinggal di Seksyen 16, PJ. Kau tak mahu ke rumah ku ?"
"Rasanya tak sesuai bercakap di sini. Bagaimana kalau..."
"Maaf. Bas dah sampai tu. Lain kali kita jumpa lagi. Aku banyak kerja di rumah. Orang perempuanlah katakan."
"Tapi..." Aku hampa kerana tidak dapat berbual lebih lama dengannya. Ku cuba menenangkan hati ku dengan sebab-sebab yang diberikannya.
"Ini nombor telefon rumah ku. Aku bekerja, jadi jangan hubungi aku sebelum jam 4.30 petang kecuali hari cuti. Jumpa lagi..." Dia segera meninggalkan ku dalam sejuta pertanyaan. Bas yang dinaikinya telah bergerak perlahan-lahan.
Aku hanya sempat membalas senyumannya.
Betapa singkatnya masa pertemuan itu. Terlalu banyak pertanyaan yang timbul dalam kepala ku. Bayangan wajahnya mengembalikan banyak kenangan-kenangan lama. Kenangan selama tiga tahun menjadi teman sekelas ku yang paling akrab melupakan aku seketika dari kesulitan menghadapi kuliah sebagai mahasiswa tahun akhir.
Telah begitu lama kami tidak berhubung. Hampir tujuh tahun. Sejak dia berpindah meninggalkan kampung ku mengikuti keluarganya, aku tidak pernah menemuinya lagi. Aku sedar keluarganya sering berpindah dibawa oleh arus perniagaan ayahnya yang terus maju. Lalu tanpa kerelaan hati ku, terpahat satu perjanjian ketika perpisahan itu terjadi.
"Kita tidak usah berutus surat. Ia membosankan."
"Maksud kau ?"
"Cukuplah sekadar kau ingati aku sebagai sahabat mu. Kau terlalu baik, Man."
"Tapi..."
"Aku tahu. Bukankah kita masih bersahabat ?"
Aku tidak hadir ketika majlis perpisahan untuknya diadakan. Sengaja aku tidak mahu datang. Sebenarnya aku kecewa kerana kehilangan sahabat paling akrab. Menurut teman-teman ku, dia menangis kerana ketiadaan ku. Aku tidak begitu pasti samada tangisan itu kerana ketiadaan ku atau kerana perpisahan itu.
alia_lamia
05-08-2008, 02:09 PM
"Hello !"
"Hello ! Assalamualaikum. Siapa di sana tu ?"
"Aku..."
"Yalah, aku 'tu siapa ?"
"Akulah. Takkan dah lupa."
"Rizal ?"
"Bukan."
"Joe, ya ?"
"Bukan."
"Habis, siapa ? Daud ?"
"Amboi, ramainya teman lelaki. Takkan dah lupa, di KL minggu lepas."
"Azman ?... ah, Azman. Buat suspen saja. Mengapa baru sekarang hubungi aku ?"
"Sibuk dengan kuliah dan tutorial."
"Apa ?"
"Nantilah, aku ceritakan bila kita bertemu nanti. Semalam aku cuba hubungi kau, tapi tak dapat. Engage."
"Mengapa baru semalam ?"
"Baru semalam terasa rindu." Jawab ku dengan nada bergurau, walaupun hati ku sendiri mengakui kebenarannya.
"Ah, kau ni. Cakap tak pernah serius."
"Takkan nak merajuk lagi. Kita jumpa hari minggu ni, ya ? Aku belanja kau makan. Eh, engkau sepatutnya belanja aku."
"Macamana ni ? Aku dah buat janji. Tak mengapalah, aku batalkan janji ku. Tapi kau belanja aku, ok ?"
"Ok. Kita jumpa di tempat dulu. Pagi minggu. Bye."
"Bye..."
Dua hari lamanya sebelum pertemuan yang dijanjikan itu. Terasa amat lama. Tapi kesibukan kuliah dan persediaan-persediaan bagi menghadapi peperiksaan semester pertama melupakannya seketika dari ingatan ku.
Malam minggu itu hati ku menjadi bernar-benar tidak tenteram. Terlalu banyak yang ku fikirkan tentang dirinya, Dia telah banyak berubah walaupun sikapnya masih seperti dulu. Kenakalannya dan sifat keanak-anakannya bila berbicara dengan ku masih ketara. Tujuh tahun bukanlah suatu waktu yang singkat. Kemunculannya secara tiba-tiba dalam hidupku sungguh di luar jangkaan ku.
Rupanya aku terlalu awal tiba di tempat yang dijanjikan. Hampir satu jam aku menantinya. Dan tanpa ku sedari dia menegur di belakang ku.
"Dah lama tunggu. Berpeluh-peluh. Dah berapa lama kau berdiri di sini ?" Sambil mengeluarkan tisu dari tas tangan dan menghulurkan kepada ku.
"Tak lama. " Kata ku sedangkan hati ku mengeluh sendirian.
"Maafkan aku kerana terlambat."
"Kau dah banyak berubah. Hari itu lain. Sekarang ni dah lain pula." Kata ku memerhatikan perubahan dirinya.
"Maksud kau, rambut ku ? Itu 'kan perkara biasa. Ke mana kita ?"
"Manalah aku tahu. Aku tak biasa di sini. Kau saja yang tunjukkan jalan."
"Mana boleh. Kau yang ajak aku keluar." Dia menoleh pada ku. Mungkin dia menyedari perubahan di wajah ku. Lalu dia terus menyambung, "Baiklah. Kita minum dulu. Lepas ni kita menonton... atau kita ke Pasar Seni. Aku dah lama tak ke situ."
Tidak seperti yang ku harapkan dari pertemuan itu. Terlalu sukar bagi ku berbual seperti biasa. Aku agak gugup. Mungkin disebabkan perpisahan yang lama itu. Atau barangkali disebabkan kedewasaan yang datang ini. Tapi dia seolah-olah seperti biasa saja, seperti tidak pernah berpisah dengan ku, seperti tujuh tahun dulu.
Seharian aku cuba menyungkil rahsianya. Tetapi nampaknya aku yang lebih banyak bercerita tentang diri ku sehinggalah ke saat akhir pertemuan itu.
"Aku tak sangka kau akan berjaya ke universiti."
"Aku pun tak sangka kita boleh bertemu di sini, Yati."
"Bukan kita yang menentukan."
"Aku tahu."
"Kau tak mahu ke rumah ku, Man ?"
"Nantilah. Esok ada kuliah. Malam ini aku mesti siapkan esei aku. Hari pun dah lewat petang."
"Bila pula kau hendak ke rumah ku ?"
"Cuti nanti."
"Kita jumpa lagi, nanti ?"
"Tak ada peluang kecuali lepas peperiksaan akhir semester pertama ini."
"Baiklah. Aku pulang dulu."
"Hati-hati di jalanan."
"Kau juga."
Satu-satunya yang masih dapat ku rasakan ialah perhatiannya terhadap ku tidak pernah berubah walaupun aku sedikit ragu. Perhatian itu menjadikan aku lebih terikat padanya.Hari-hari yang ku lalui menjadi lebih bermakna. Aku mula menyedari bahawa diri ku tidak lagi sendirian di dunia ini.
ada bakat jadi penulis cerpen le..:p
alia_lamia
05-08-2008, 02:13 PM
emmm..
amcm??
xabis Lg citer nie..
kLU nk tau citer sLanjutnya..
bgtaU k..
alia_lamia
05-08-2008, 02:16 PM
"Hello !"
"Hello... Azman, ya ?"
"Emmm..."
"Kenapa kau hubungi aku ? Peperiksaan kau bagaimana ?"
"Rindu. Sepi... Dan macam-macam lagi..."
"Kau nak jumpa aku ?"
"Tidak. Masih ada dua kertas lagi."
"Habis ?"
"Kenapa 'ni ? Kau tak suka aku hubungi kau ?"
"Bukan begitu. Aku bimbang pelajaran kau terganggu."
"Tak perlu bimbang, Yati. Kau datang jemput aku hari sabtu ni. Awal pagi lebih baik."
"Kenapa ?"
"Aku ingin ke rumah mu. Bukankah hari sabtu ni cuti ? Aku tunggu di depan Dewan Canselor. Kau tahu tempat itu 'kan ?"
"Peperiksaan kau ?"
"Tamat pagi jumaat."
"Baiklah. Bye."
"Hello ! Hello !..."
"Ayah aku nak guna telefon."
"Ok. Pagi sabtu. Jangan lupa. Bye"
Satu lagi pertemuan dijanjikan. Menanti hari itu datang amatlah menyiksakan. Apa lagi kalau fikiran sentiasa padanya, melenyapkan tumpuan pada yang lain. Aku tiba-tiba khuatir terhadap kemungkinan keputusan peperiksaan ku. Apakah kemunculannya dalam hidup ku merupakan suatu perangsang atau gangguan ? Aku tidak dapat menjawabnya. Tetapi yang ketara, perjalanan hidup ku semakin berubah. Sikap ku seolah-olah dirangsang oleh sesuatu yang baru pertama kali ku rasa. Bukankah pertemuan itu yang memulakannya ? Pun aku tidak pasti. Mungkin aku telah memikirkannya lama dulu sebelum kemunculannya.
"Kau berubah lagi pagi ini," kata ku, ketika duduk di sebelah kirinya. "Bila kau lulus ujian memandu ?"
"Biasa saja. Dua tahun lepas. Kita mesti cepat sedikit. Ibu ku perlukan kereta ini untuk ke mesyuarat persatuan. Pasanglah talipinggang keledar tu."
Aku menurut perintahnya. "Ayah kau ada di rumah ?"
"Tiada."
"Adik kau ?"
"Dia ke sekolah. Ada latihan sukan. Tengahari baru balik."
"Kalau begitu kita batalkan sajalah."
"Kenapa ni ? Engkau takut ? Malu ? Dulu pun kita selalu berdua di rumah ku."
"Maksud kau, semasa masih budak-budak !" Aku mulai resah dan bercadang membatalkan tujuan ku.
"Kau tak perlu bimbang. Orang gaji ku ada di rumah."
"Mengapa tak cakap awal-awal tadi ?"
"Saja..."
"Kau sengaja ingin mempermainkan perasaan ku."
Dia tertawa kecil. Aku memandang keluar kenderaan yang sedang meluncur laju itu.
"Marah ?" Dia bertanya lembut.
Aku diam. Tetapi aku dapat memahami renungannya. Tiba-tiba kami tertawa serentak seolah-olah mengingati perkara yang sama.
Masih terbayang peristiwa tujuh tahun dulu. Dia menangis pabila aku mentertawakannya kerana di suruh melakunkan peranan lelaki oleh guru bahasa kami. Aku tahu dia memang tidak mempunyai bakat lakunan. Dia berjanji akan membalas dendam. Tetapi dendamnya tidak sempat dibalas kerana aku berjaya memujuknya. Selepas peristiwa itu persahabatan kami pun bertambah erat. Nampaknya dendam itu telah terbalas kini.
Rumah banglo bersaiz sederhana itu ku lihat agak terpencil kedudukannya dari jalan utama ketika kami sampai. Suasana di dalamnya juga sunyi dan tiada siapa yang menyambut kami di muka pintu. Katanya, orang gajinya mungkin sibuk di dapur menyediakan hidangan tengahari.
"Kau gembira bila kita selalu bersama begini ?" Aku memulakan. Cuba menyungkil perasaan hatinya.
Ku lihat dia masih sibuk menuangkan minuman ke dalam gelas ku seolah-olah tidak mendengar pertanyaan ku.
"Jemputlah minum," katanya tanpa memperdulikan pertanyaan ku tadi.
"Terimakasih. Kau belum jawab soalan ku tadi."
Aku membiarkan saja gelas yang penuh itu di atas meja. Melihat aku merenungnya, dia terus mengambil dan menghulurkannya kepada ku.
"Kau inginkan jawaban ? Seperti dulu juga. Aku tak berubah."
"Maksud kau, kau gembiralah."
"Entah."
Aku terdiam. Terasa benar dia telah pandai bermain kata-kata. Aku menyambut gelas di tangannya. Meneguk sedikit dan meletakkannya kembali di atas meja.
"Kau telah banyak berubah, Yati."
"Apa maksud kau ?"
"Dari setiap pertemuan kita, aku belum menemui Yati seperti tujuh tahun dulu."
"Kau mahu aku kekal seperti dulu, seperti tujuh tahun dulu ?"
"Tidak. Tetapi aku lebih gembira bersama kau tujuh tahun dulu."
"Kalau begitu kau juga telah berubah. Dulu kau selalu memuji setiap perubahan pada diri ku."
"Tapi tak sama seperti sekarang." Aku memintas.
Bicara itu menjadi mati. Aku merenung ke arahnya. Melihat perubahan di wajahnya. Sinar matanya membayangkan kesayuan hati yang luka. Atau mungkin satu kerinduan yang telah lama terpendam.
"Sepatutnya kita tidak membicarakan soal-soal peribadi begini. Kau masih tak mengerti, Man." Kata-katanya di lafazkan perlahan-lahan. Dia tunduk merenung lantai ruang tamu rumah banglo itu.
Aku menjadi terharu melihat kesayuan di wajahnya.
"Maafkan aku, Yati. Aku berjanji tidak akan mengulanginya lagi."
Memang dia telah banyak berubah. Adakah perubahan itu kerana kehadiran ku ? Atau mungkinkah tempoh tujuh tahun itu telah banyak merubahnya ? Yang ketara aku masih tak memahaminya. Malah tidak dapat menerima perubahan itu.
"Kau mahu ke kampung ku, cuti ini ?" Aku mempelawa setelah lama sepi menyelubungi kami.
"Aku sibuk sekarang ni. Tak ada cuti. Dulu bukankah aku kerap ke rumah mu ?"
"Tujuh tahun dulu ? Itu pun, tiap kali, setelah aku lebih dulu ke rumah mu." Aku terhenti seketika. "Aku bercuti lebih dua bulan, takkan kau tak boleh minta cuti sehari dua."
"Baiklah. Kau hubungi aku melalui telefon sahaja. Biar aku yang bayar bilnya. Reverse charge."
"Aku tak mahu menyusahkan kau dan keluarga kau."
"Sepatutnya kita tidak bertemu lagi. Kita sudah tak sehaluan. Kita tak dapat selalu bersama seperti dulu." Suaranya perlahan dan sayu.
Aku tak menduga dia akan berkata begitu. Apalagi setelah kemesraan yang lalu terjalin semula. Ku renung tepat ke wajahnya. Dia kelihatan serba-salah.
"Aku tidak faham maksud mu," Aku mengharap adanya penjelasan. " Kau seolah-olah menyembunyikan sesuatu..."
"Aku ? Tidak ada apa-apa..." Dia memotong pantas.
Aku terdiam, tetapi resah mencengkam di hati. Jika dia sendiri tidak mahu menjelaskan, aku tak perlu mendesaknya. Aku faham benar sikapnya dan ketegasannya yang datang tiba-tiba tanpa mengira waktu itu.
Petang itu ku tinggalkan rumahnya. Bukanlah ketenangan yang ku perolehi di situ seperti yang ku harapkan. Kata-katanya yang samar-samar itu amatlah meresahkan. Apakah rahsia sebenar yang terbendung di hatinya kini ? Aku menjadi ragu terhadap kemungkinan yang tercipta di hati ku. Menjadikan ku semakin sukar menyatakan perasaan hati ku sendiri.
Nak la jugak....hehe...:)memang menanti...:p
hoho....seribu tanda tanya di ati "aku"....
pertemuan tak bereti tanpa ada perpisahan...kerana perpisahan yang membawa kepada kerinduan...kerinduan berkembang menjadi harapan yang akhirnya membawa kepada percintaan....hye....terkenang pada pertemuan pertama dengan yang tersayang..hehe....:p
alia_lamia
05-08-2008, 03:19 PM
Percutian yang panjang itu pun rupanya amat membosankan. Kesunyian di desa pendalaman benar-benar terasa. Aku tidak menghubunginya kecuali melalui surat-surat ringkas atau poskad yang turut ku rasa amat membosankan sehinggalah cuti berakhir.
Sebagai pelajar tahun akhir, semester kedua merupakan penentuan samada aku akan berjaya atau tidak menamatkan pengajian. Jika tidak, alangkah jemunya memanjangkan lagi tempoh pengajian. Itulah yang membimbangkan ku dan itulah yang sering menekan perasaan ku.
Aku mulai jarang menelefonnya. Ketakutan terhadap kegagalan lebih kuat menguasai diri ku dari kerinduan terhadapnya. Aku seakan cuba melupakannya.
Menjelang saat-saat akhir peperiksaan semester kedua itu, aku telah membuangnya jauh dari ingatan ku. Fikiran ku hanya tertumpu kepada pelajaran yang ku hadapi tanpa memikirkan suara-suara di sekeliling. Apalah yang ku harapkan melainkan kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan yang terakhir itu.
Sebaik sahaja keputusan peperiksaan diumumkan, aku dengan wajah kegirangan terus menghubunginya.
"Hello !"
"Hello !" Suara garau tetapi lembut kedengaran di corong telefon. Aku dapat mengecam suara itu. "Siapa di sana 'tu ?" Sambung suara itu lagi.
"Saya, Azman. Pakcik ke 'tu ?"
"Oh... Azman. Nak bercakap dengan Yati ya ?"
"Yati ada di rumah, Pakcik ?"
"Tak ada. Dia baru saja keluar sebentar tadi. Dengan Rizal."
"Rizal ?" Aku terkejut. "Rizal yang mana, Pakcik ?" Aku seakan tidak sabar menunggu jawaban.
"Anak rakan perniagaan Pakcik. Tunang Yati. Dia baru sampai pagi tadi, dari Kota Kinabalu. Yati tak ada beritahu ?"
Aku terdiam. Tidak menjawab. Sukar bagi ku untuk meneruskan perbualan itu. Kata-kata yang ku dengar dari corong telefon itu memang di luar jangkaan ku selama ini. Patutlah Yati kelihatan serba-salah setiap kali bersama ku. Aku kesal kerana dia tidak mahu berterus-terang. Patutlah dia sering membayangkan kekesalannya kerana kehadiran ku semula dalam hidupnya. Apakah yang ku mahukan dari semua pertemuan-pertemuan itu. Segalanya telah musnah tinggal impian semata.
"Hello ! Hello ! Azman..."
"Saya, Pakcik"
"Ada apa-apa pesan untuk Yati. Pakcik nak keluar sebentar lagi."
"Tak ada, Pakcik. Terimakasih. Assalamualaikum. Bye."
Memang ada pesan gembira yang ingin ku sampaikan. Tetapi mulai saat ini, pesan itu akan tersimpan jauh di sudut hati ku. Menjadi rahsia peribadi ku. Bukan kerana aku tidak mahu mengucapkannya, tetapi kerana ia tidak mempunyai makna lagi. Segulung ijazah yang ingin ku jadikan hadiah paling berharga seakan tidak berguna lagi.
Hati ku kesal kerana bukan dia yang menyambut panggilan ku. Dan bukan dia yang memberitahu ku hal itu.
Lalu, setelah kekecewaan menjelma, aku berharap ia akan segera berakhir agar aku dapat melenyapkannya jauh dari ingatan ku. Ku harap dia berbahagia. Aku tidak merasa kecewa kiranya itu adalah satu dari ketentuan Yang Maha Esa. Biarpun persahabatan yang begitu akrab terpaksa dikorbankan, tiada suatu apa pun yang harus ku kesalkan dari pertemuan-pertemuan itu. Segalanya telah berakhir. Dan aku memang inginkan ia segera berakhir.
alia_lamia
05-08-2008, 04:12 PM
Ring. Ring. "Hello..."
"Hello ! Siapa di sana tu ?" Aku tersintak mendengar suara lembut lunak dalam kesibukan di pejabat ku. Suara yang sering bergema di cuping telinga ku setahun dulu. Malah sembilan tahun dulu nadanya masih serupa. Aku masih dapat mengenali suara itu. Tapi aku ragu akan kehadirannya secara tiba-tiba.
"Aku... Yati. Ingat lagi tujuh tahun dulu ?"
"Maksud kau, sembilan tahun dulu ?"
"Tak sedar rupanya sudah lebih setahun kita tidak bertemu."
"Tuhan tidak menghendaki pertemuan itu lagi. Kau harus sedar keadaan kita sekarang."
"Azman, dengarlah dulu. Kau tak beri aku peluang untuk menerangkan perkara yang sebenarnya."
"Baiklah. Cakaplah sekarang. Aku dengar."
"Bukan di sini, Man. Aku ingin bertemu kau."
"Untuk apa lagi ?..." Hati ku masih berat untuk menerima kehadirannya. Apalagi untuk membina pertemuan dengannya.
"Aku dan Rizal. Kami telah berpisah..."
"Apa ?... Apa maksud kau, Yati ?" Aku seolah-olah dapat merasakan betapa berat hatinya mengucapkan kata-kata itu. Aku menjadi terharu dan simpati.
"Kami tak ada persefahaman. Kau tahu aku tak dapat menerima sesiapa selain dari kau. Kau tahu betapa tersiksanya hati ku dengan kemunculan mu kembali setelah sekian lama."
"Aku masih tidak faham, Yati."
"Man, berterus-teranglah, kalau kau memang tidak faham atau sengaja tidak mahu memahami. Aku akan terangkan semuanya bila kita bertemu nanti. Kau harus tahu, Rizal bukan pilihan ku."
Aku tidak bersuara. Memang ada kebenaran kata-katanya itu. Tidakkah selama ini hati ku telah terluka sehingga aku tidak dapat menerima kehadiran sesiapa dalam hidup ku lagi ? Tidakkah selama ini hati ku telah beku untuk menjalin persahabatan yang akrab dengan sesiapa seperti dulu ? Seperti ketika bersamanya.
"Hello..." suara yang dulunya lembut dan nakal itu terus bergema di cuping telinga ku. Tetapi kini suara itu begitu sayu.
Hati ku kembali basah dan segar.
"Yati, maafkan aku."
"Tidak, Man. Sepatutnya akulah yang meminta maaf. Aku tahu bagaimana perasaan kau terhadap ku. Aku juga begitu. Cuma aku tersiksa kerana kau tidak berterus-terang pada ku. Man, katakanlah sekarang, kau mencintai ku. Atau kau mahu aku mengucapkannya terlebih dahulu."
"Yati, tidak cukupkah bukti dari apa yang ku tunjukkan selama ini ?" Aku seolah-olah tidak percaya pada kata-katanya.
"Man, katakanlah. Aku ingin mendengar dari mulut mu sendiri."
"Baiklah, Yati. Aku memang mencintai mu. Cinta dengan sepenuh hati. Tapi bagi ku bukanlah kata-kata itu yang menandakan cinta ku. Apakah sikap ku selama setahun sejak pertemuan itu masih tak kau fahami ?"
"Oh... Man, kalaulah kau ucapkan dari dulu lagi, kita tidak akan menyiksa diri begini."
Lalu perpisahan yang terjadi hampir setahun itu dijalin semula. Pertemuan yang lain diukir lagi. Tidak seperti pertemuan-pertemuan yang lalu, pertemuan kali ini bukan lagi merupakan pertemuan antara dua sahabat.
[ TAMAT ]
eh....awak.sweet sangat cerpen ni...:xtq dah membungakan ati saya dengan cite ni....dah habis la cita ni...hehe....post banyak lagi ek...;)),ni bunga untuk awak ek....hehe...@};-:p
alia_lamia
05-12-2008, 02:23 PM
ai yUs..
Lia pn der gak kenangan manis dLm setiap pertemUan ngan bf Lia..
citer ni jUz rekaan..
rekaan dari iLham keadaan sekeLiLing Lia..
tq yUs..
wat ssh jer..;;)
Powered by vBulletin® Version 4.1.12 Copyright © 2012 vBulletin Solutions, Inc. All rights reserved.